Wednesday, September 24, 2014

Lipatgandakan amalan di 10 hari Zulhijjah

Assalamualaikum semua♡

Hehehe... harini awal betul noha buat menulis. Maklumlah bangun pukul 3pagi siapkan bahan2 untuk memasak!

Niat dihati nak sahur mee goreng, lepas dah siapkan semua bahan2 tiba-tiba hati ini tergerak nak tengok kalender Islam.

Allahurobbi! Rupa-rupanya 1 Zulhijjah jatuh pada hari Jumaat! 

Hahaha...terus sangkut balik kuali, simpan semua bahan2 memasak dalam peti semula!

Alkisah...bermula semangat berkobar2 nak puasa ni bila abang ipar whatsapp  dekat group keluarga bagitau kelebihan 10hari terawal Dzulhijjah ni... ini adalah antara isi kandungan mesej tu:

♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡

"Apabila masuk 1 Zulhijah Rasulullah menyarankan kepada kita supaya tidak mengerat kuku, tidak menggunting rambut atau mencukur bulu ari-ari. 

Perlakuan ini diibaratkan seolah sama dengan para hujaj yang berada di Tanah Suci sebelum mereka berwukuf. 

Setelah kita menyempurnakan ibadah sembelih binatang Qorban baru lah kita disunatkan mengerat kuku, menggunting rambut dan mencukur bulu ari-ari. 

Ibadat korban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabat baginda melakukan ibadat korban. Ini memandangkan ibadat korban itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihan-kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan masyarakat. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang mampu seharusnyalah mengambil iktibar terhadap galakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada sahabat-sahabat baginda untuk berbuat demikian.

Sabda Rasulullah SAW 

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi.
Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7949.)

♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡

Lepas dah baca mesej ni terus noha google cari lagi kebaikan-kebaikan amalan 10 hari terawal bulan Dzulhijjah ni dan berikut adalah maklumat yang noha dapat dari hasil google:

1. Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yg bermaksud :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?”. Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 

2. Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda maksudnya : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

3. Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir RA bahawa Baginda SAW bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.

JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA. 

Pertama 
Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi SAW : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”. 


Kedua Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah. 
Dari Abu Sa’id al Khudri RA berkata : ‘Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (Muttafaq ‘alaih).
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. 


Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Lazimnya kita memahami zikir-zikir ini disebut pada hari-hari raya sahaja, tetapi dalam hadis ini menunjukkan kita disarankan untuk membanyakkannya pada 10 hari pertama.
Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah RA kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu,
“[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”.
Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik. 


Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (Muttafaq ‘alaihi). 


Kelima Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pahalanya pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid). 


Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang raya mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. 


Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘AS setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih. 




Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”,
Dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya. 


Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.

Kesimpulan:
Kita disunatkan berpuasa selama 9 hari dari 1 hingga 9 Zulhijjah, jika tidak mampu puasalah berapa hari yg mampu, atau paling kurang pada hari ke 9. Jika tidak mampu melakukan semua, janganlah tinggalkan semua. Begitu juga amalan-amalan lain yang disebut di atas.
♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢
Haaaaa....banyakkan amalan-amalan yang kita boleh buat? Kalau tak boleh puasa, kita boleh banyakkan zikir.

Dalam pada itu juga, 10 hari terawal bulan Zulhijjah ni sebenarnya ada banyak peristiwa-peristiwa penting. 

Hari Pertama Zulhijjah
Hari ketika Allah mengampuni Nabi Adam ialah hari pertama Zulhijah. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu, Allah mengampuni dosanya.

Hari Kedua Zulhijah
Allah telah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkannya dari perut ikan nun. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu, maka seperti orang yang beribadah kepada Allah selama setahun serta tidak menderhakai Allah.

Hari Ketiga Zulhijah
Allah telah mengabulkan doa Nabi Zakaria. Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.

Hari Keempat Zulhijah
Nabi Isa dilahirkan. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu, Allah akan menghilangkan kesusahannya dan kefakirannya dan pada hari Kiamat bersama orang yang baik dan mulia.

Hari Kelima Zulhijah
Nabi Musa dilahirkan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, dia bebas daripada kemunafikan dan seksa kubur.


Hari Keenam Zulhijah
Allah membukakan kebaikan untuk Nabi-Nya. Sesiapa yang berpuasa pada hari itu, maka Allah memperhatikan padanya dengan kasih sayang dan dia tidak diseksa semudah itu.

Hari Ketujuh Zulhijah
Semua pintu neraka jahanam ditutup dan tidak dibuka-buka sehingga berlalu hari-hari yang 10 itu. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah menghindarkan daripada 30 pintu kesukaran dan membuka 30 pintu kemudahan.

Hari Kelapan Zulhijah
Dinamakan juga Hari Tarwiyah. Sesiapa berpuasa pada hari itu, dia diberi pahala yang hanya diketahui oleh Allah sendiri.

Hari Kesembilan Zulhijah
Disebut juga hari tebusan dosanya pada tahun itu yang lepas dan yang akan datang. Pada hari inilah turunnya ayat Al-Quran yang terakhir bermaksud:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu akan agamamu dan Aku sempurnakan pula nikmat-Ku kepadamu.”

Hari Kesepuluh Zulhijah 
Hari Raya Aidiladha. Sesiapa berkorban dengan satu korban, mulai titisan darah yang jatuh di tanah, Allah mengampuni semua dosanya dan keluarganya. Sesiapa yang memberi makan orang mukmin atau bersedekah dengan satu pemberian, maka Allah akan membangkitkannya pada Hari Kiamat dengan selamat dan timbangannya pun menjadi lebih berat daripada Bukit Uhud.

Banyak kelebihan yang kita dapat kalau kita puasa pada hari-hari berikut. Tapi ingat, ikhlaskan niat kerana Allah s.w.t. kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

“Sesungguhnya Allah s.w.t tidak mahu menerima amalan, kecuali dari orang yang ikhlas dan semata-mata mencari keredhaan-Nya”.



Wallahu'alam..

Semuga dapat kita manfaatkan masa dan cuba buat yang terbaik untuk mencari bekalan di akhirat nanti...

Akhir sekali pesanan buat semua dan diri niha sendiri, kalau tak dapat buat semua jangan pula kita tinggalkan semua.. nauzubillah

Assalamualaikum

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...